LADA DAN PENYELIDIKAN LADA DI SARAWAK
Lada, rempah yang digunakan dengan meluas sebagai
perasa makanan,adalah buah daripada tumbuhan tropika jenis memanjat,
Piper nigrum L., yang berasal dari Barat-Daya India. Di Sarawak, lada
telah ditanam sejak tahun 1856 tetapi penanaman secara meluas bermula
pada tahun 1900-an.
Kini, lada masih merupakan salah satu tanaman kontan
yang penting sebagai punca pendapatan untuk kira-kira 67,000 penduduk di
kawasan pedalaman Sarawak. Keluasan purata kebun lada adalah 0.2
hektar. Lada banyak ditanam di beberapa daerah di Bahagian Kuching,
Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei. Anggaran semasa kawasan
penanaman lada ialah kira-kira 13,000 hektar.
Malaysia mengeksport sebanyak 19,748 tan metrik lada
pada tahun 2004 dan 18,824 tan metrik pada tahun 2002 yang
masing-masingnya bernilai RM113.2 juta dan RM120.0 juta. Hampir 98
peratus pengeluaran lada di Malaysia adalah di Sarawak. Pengeluaran
untuk tahun 2004 adalah 20,000 tan metrik. Malaysia kini menduduki
tangga kelima negara pengeluar lada dunia selepas negara Vietnam, India,
Indonesia dan Brazil.
Bentuk Lada untuk Eksport
Kira-kira 95 peratus perdagangan lada dunia adalah dalam bentuk lada hitam dan putih, manakala selebihnya adalah dalam bentuk oleoresin lada, minyak lada, lada hijau dan lada kisar.
Tanaman Lada
Pokok lada hidup subur di kawasan beriklim tropika yang panas dan lembap. Lazimnya, lada dibiak daripada keratan batang dan pembiakan menggunakan biji jarang dilakukan. Sistem akar berkembang daripada akar adventitius yang terbentuk pada bahagian buku keratan batang yang ditanam. Daun akan keluar pada setiap buku semasa peringkat tumbesaran keratan pucuk utama. Akar adventitius juga akan berkembang untuk membantu pucuk melekat pada tiang sokongan. Pada setiap buku, mata tunas aksil tumbuh menjadi dahan sisi dan seterusnya akan mengeluarkan sulur buah.
Bunga lada keluar pada buku yang bertentangan dengan
setiap daun di dahan sisi. Kebanyakan kultivar lada mempunyai bunga
dwiseks yang kebiasaannya mengalami pendebungaan sendiri. Buah lada yang
lebih dikenali sebagai beri, berwarna hijau dan berkeadaan lembut di
peringkat awal pembentukan. Ia bertukar ke warna hijau tua dan menjadi
keras apabila matang. Kulit luar (eksokarpa) berwarna kuning dan merah
cerah dan menjadi lembut apabila masak. Setiap beri lada mengandungi
biji tunggal yang diselaputi isi buah (mesokarpa). Lada hitam terdiri
daripada keseluruhan beri yang telah dikeringkan manakala lada putih
adalah biji lada.
Rasa pedas buah lada adalah disebabkan oleh kehadiran
alkaloid piperine, chavisine dan piperettine manakala minyak pati
menghasilkan aroma lada. Kedua-dua sebatiantersebut membentuk oleoresin
yang dapat diperolehi melalui proses ekstraksi pelarut. Kepedasan lada
juga dipengaruhi oleh varieti dan persekitaran penanaman lada.
Kultivar Lada
Terdapat banyak kultivar di Negara India yang
merupakan tempat asal tanaman lada. Di Sarawak, kultivar yang paling
banyak ditanam ialah 'Kuching (Gambar 1). Melalui penyelidikan, dua
kultivar, iaitu 'Semongok perak' dan 'Semongok emas' (Gambar 2) telah
disyorkan kepada petani. Terdapat 47 'kemasukan' (accessions) Piper
nigrum dan 46 'kemasukan' (accessions) spesies Piper di dalam koleksi
germplasma lada di Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok. Bahan-bahan
ini digunakan untuk program penambahbaikan tanaman lada.
PENANAMAN LADA
Di Sarawak, lada ditanam sebagai tanaman tunggal (monocrop) tanpa naungan terutamanya di kawasan lereng yang bercerun landai dan curam. Untuk kebun lada yang terletak di kawasan rendah dan mendatar, sistem parit perlu disediakan. Pokok lada ditanam di atas busut yang disediakan semasa penyediaan tanah. Secara tradisional, pekebun mengamalkan merumpai bersih kebun lada mereka. Amalan ini sering mengakibatkan hakisan tanah yang teruk, oleh itu pekebun lada kini digalakkan menanam tanaman penutup bumi.
Menanam di ladang
Masa yang paling sesuai menanam lada adalah di antara
bulan Oktober hingga Disember. Bahan tanaman yang boleh digunakan ialah
keratan tanpa akar, keratan berakar atau keratan dalam polibeg. Jarak
antara tanaman yang disyorkan ialah 2.5m x 2.0m (2,000 pokok
lada/hektar). Keratan yang baru ditanam perlu diberi naungan atau
lindungan sehingga ia tumbuh dengan sempurna.
Tiang sokongan
Pokok lada yang masih muda dilatih untuk tumbuh
memanjat pada tiang sokongan. Secara tradisional, tiang kayu belian
digunakan sebagai sokongan. Walau bagaimanapun, hasil kajian telah
mendapati tiang sokongan hidup daripada pokok jenis kekacang (contohnya
Gliricidia sepium dan Erythrina indica) sesuai digunakan sebagai tiang
sokongan alternatif (Gambar 3).
Pemangkasan / Cantasan
Pokok lada hendaklah dicantas untuk menggalakkan
pembentukan kanopi yang sesuai. Tiga pusingan pemangkasan disyorkan:
pangkasan pertama ialah enam bulan selepas menanam untuk pengeluaran
tiga pucuk utama. Pangkasan kedua adalah di peringkat 12–14 bulan
apabila pokok lada mencapai ketinggian separuh tiang sokongan. Pangkasan
terakhir dilakukan apabila pucuk utama mencapai bahagian atas tiang
sokongan dan ini adalah seiring dengan masa pengeluaran buah yang
pertama.
Pembajaan
Pokok lada memerlukan banyak bekalan nutrien.
Penggunaan baja kimia adalah penting untuk pengeluaran hasil yang
tinggi. Pengapuran juga perlu dilakukan untuk meningkatkan kandungan zat
pemakanan Kalsium (Ca) dan Magnesium (Mg) serta untuk mengawal
kemasaman (pH) tanah. Pokok lada muda perlu kerap dibaja dengan baja
yang mengandungi nutrien utama Nitrogen (N), Fosforus (P) dan kalium
(K). Pokok lada matang pula memerlukan bekalan nutrien dalam kuantiti
yang banyak. Keperluan baja, komposisi nutrien dan jadual pembajaan
untuk pokok lada yang matang dan belum matang telah dikaji. Gejala
kekurangan nutrien dan keracunan juga telah dihuraikan.
Pengutipan hasil dan pemprosesan
Pokok lada lazimnya mengeluarkan hasil yang pertama
pada awal musim hujan di tahun kedua penanaman. Pengutipan hasil
dilakukan mulai bulan Mac hingga Ogos. Lada hitam dihasilkan dengan
menjemur buah lada yang telah matang tetapi belum masak di bawah cahaya
matahari. Lada putih diproses dengan merendam buah lada dalam air bersih
yang mengalir untuk membuang lapisan isi buah (perikarpa) sebelum
dikeringkan di bawah matahari. Untuk penghasilan lada putih, sagaran
buah yang mempunyai banyak buah yang hampir masak digunakan.
Kawalan serangga dan penyakit
Banyak serangga perosak dan penyakit boleh
menyebabkan kerosakan pada tanaman lada. Serangga perosak utama yang
merosakkan pokok dan bunga lada ialah kumbang belalai (Lophobaris
piperis) dan kepinding lada (Dicronocoris hewetii). Kumbang rokok
(Lasioderma serricorne) juga boleh merosakkan biji lada semasa
penyimpanan.
Penyakit yang biasa menyerang lada adalah disebabkan
oleh kulat yang membiak dalam keadaan yang panas dan lembap. Penyakit
yang perlu diawasi oleh pekebun lada ialah penyakit reput akar
(Phytophthora capsici), penyakit buah hitam (Colletotrichum capsici, C.
piperis dan C. gloeosporioides), penyakit cendawan angin (Corticium
salmonicolor), penyakit hawar lembut (Septobasidium sp.), penyakit akar
putih (Rigidoporus lignosus) dan penyakit kuning (disebabkan oleh
gabungan serangan cacing nematod Radopholus dan kulat Fusarium solani).
Cacing nematod (Meloidogyne spp.) menyerang bahagian
akar pokok lada. Penyakit daun keriting yang disebabkan oleh virus juga
boleh menyerang pokok lada muda dan matang.
Kawalan perlindungan tanaman lada daripada serangga
perosak dan penyakit dengan menggunakan bahan kimia menyebabkan kos
pengeluaran lada meningkat.
PEMASARAN
Kira-kira 70 peratus lada keluaran Sarawak dieksport
dalam bentuk lada hitam dan selebihnya adalah sebagai lada putih, jeruk
lada, lada nilai tambah dan produk hasil lada yang lain. Di kawasan
pedalaman, pekebun menjual hasil lada mereka kepada peniaga di kampung
yang kemudiannya menjual kepada peniaga di bandar. Di kawasan yang
berhampiran bandar, pekebun akan menjual terus kepada peniaga di bandar
atau pengeksport. Lembaga Pemasaran Lada Hitam, sebuah Agensi
Persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 1972, bertanggungjawab terhadap
maklumat pemasaran, promosi dan pengembangan, penambahbaikan kualiti,
perdagangan, peraturan pemasaran melalui pelesenan peniaga dan
pengeksport lada serta pembangunan produk lada.
MASALAH DAN KEKANGAN
Masalah utama dan kekangan yang dihadapi oleh pekebun lada adalah :-
Berikut adalah beberapa program penyelidikan untuk menyokong perkara di atas :-
|