MACHANG - Berbekalkan kudrat anak beranak dan sedikit modal, seorang wanita nekad mengusahakan tanaman lada hitam di kawasan Bukit Angin Melintang, Ulu Sat, dekat sini, sejak dua tahun lalu.
Sekalipun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran termasuk bermalam di ladang yang dikelilingi hutan dara, Siti Khatijah Hamid, 48, dibantu suami, Shadan Hamid, 50, tidak pernah berputus asa malah semakin bersemangat untuk menjayakannya.

Bermula dengan hobi dan diusahakan sebagai tanaman hiasan di kawasan rumahnya, kini Khatijah memiliki ladang lada hitam seluas lima hektar dengan 5,000 pokok Piper Nigrum.
Siti Khatijah berkata, permintaan pasaran yang memberangsangkan mendorongnya mengusahakan tanaman lada hitam dan menjadi usahawan tani pertama seumpamanya di Kelantan.
Katanya, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi termasuk merentasi enam bukit kecil di kawasan sekitar untuk sampai ke ladang yang mengambil masa sejam dengan jarak 10 kilometer dari jalan utama.
Tambahnya, dia dan keluarga menggunakan trek laluan asal yang berbatu dan berselut di sekitar bukit berkenaan untuk sampai ke ladangnya.
“Walaupun tak ada pengalaman dalam bidang ini, Lembaga Lada Hitam Malaysia (LLHM) banyak menyalurkan bantuan kepakaran dan teknikal termasuk menyediakan anak benih lada hitam yang berkualiti dari Johor, Perak dan Terengganu, selain membekalkan baja yang diperlukan bagi pertumbuhan pokok.
“Saya juga turut berkongsi pengalaman dan ilmu tanaman lada hitam dengan pengusaha Cina yang sudah berjaya mengusahakan ladang terutama di Sarawak yang membabitkan kaedah penanaman awal, pengurusan ladang dan penghasilan anak benih baharu dari pokok induk,” katanya.

Jerit perih peringkat awal akhirnya berbaloi
Khatijah berkata, hasil usahanya telah mula dipasarkan secara kecil-kecilan dan mendapat sambutan baik.
Katanya, sebagai suri rumah, usaha membangunkan ladang tersebut bukan perkara mudah, namun dorongan suami adan anak-anak yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk sama-sama mengusahakan ladang tersebut menjadi kekuatan baginya.
Pada peringkat awal membuka ladang, Siti Khatijah memberitahu, dia dan suaminya hanya berteduh dan berkhemah di bawah pokok besar berdekatan, sebelum membina pondok kecil yang berdindingkan buluh hutan.
“Alhamdulillah, usaha kami mula menunjukkan hasil dan berharap ia mampu membantu mengubah tahap ekonomi keluarga.
“Sepokok lada hitam mampu mengeluarkan hasil sebanyak 5 kilogram (kg) setahun dan setiap kilogram lada hitam yang siap diproses boleh dipasarkan pada kadar RM40 hingga RM50.
"Malah, buah muda berwarna hijau turut mendapat permintaan tinggi daripada pembeli yang gemar menjadikannya sebagai ulam,” katanya.
Siti Khatijah berkata, selain buah, semaian anak benih dari keratan batang bagi memenuhi permintaan petani yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan turut memberi pulangan lumayan.
Setiap satu polibag katanya, boleh dijual dengan harga RM7 turut mendapat permintaan daripada penggemar yang ingin menanam pokok ini sebagai pokok hiasan taman.